Bung Moktar berharap RUU antilompat lulus

Bung Moktar berharap RUU antilompat lulus

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen apabila diundi di Dewan Rakyat, esok.

Katanya, RUU itu perlu disokong semua Ahli Parlimen bagi menghentikan amalan lompat parti yang membawa banyak keburukan terutama menyebabkan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat menjadi tidak stabil.

Katanya, Sabah paling terkesan akibat amalan itu kerana paling ramai pemimpin parti politik melompat parti hingga kerap bertukar kerajaan dan mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

“Daripada dulu pendirian saya jelas bahawa kerajaan perlu membentangkan RUU baharu ini. Lompat parti ini berlaku sejak 1970-an lagi bermula di Sabah.

“Di Sabah paling kerap lompat parti, malah PRN sudah 16 kali berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) yang baru memasuki 15 kali, manakala di Sarawak baru PRN ke-12.

“Ramai tiada kesedaran betapa pentingnya sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan negeri supaya rakyat mendapat kemakmuran.

“Apabila tiada perancangan, maka kerajaan sering bertukar dan jadilah tiga daerah di Sabah sebagai daerah termiskin,” katanya dipetik menerusi wawancara Malaysia Gazette, hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti itu dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada persidangan Dewan Rakyat, siang tadi.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata akta anti lompat parti penting bagi memastikan kerajaan Pusat dan negeri sentiasa stabil.

Beliau memberi contoh di Pakistan, tindakan membeli 30 wakil rakyat menyebabkan kerajaan negara itu jatuh dan ia seharusnya dijadikan iktibar agar tidak berlaku di negara ini.

“Kita tidak mahu lagi wakil rakyat memegang kuasa menjadi penentu di mana dia mahu lompat. Ini perkara yang penting,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau berharap semua Ahli Parlimen memiliki kesedaran mengenai keburukan melompat parti kepada negara dan memilih untuk menyokong RUU itu esok.

“Jika tidak akan datang PRU berlaku kekacauan juga dan parti memerintah mungkin boleh dijatuhkan lagi. Kita mahu tiada lagi isu lompat parti lepas ini,” katanya.

Beliau berkata, pengundian RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 undi untuk diluluskan.

Sementara itu, ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini, Bung Moktar berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak patut melompat parti.

Katanya, tindakan ADUN melompat parti yang disifatkannya seperti ‘monyet’ menjadi punca Sabah mundur.

“Jika Ahli Parlimen kita sudah dimartabatkan, dimaruahkan, ‘indakan’ ADUN kita macam monyet lagi. ADUN kita pun kena ada maruah, jangan lompat sana lompat sini lagi.

“Sebab itulah Sabah mundur, ADUN dia suka lompat-lompat, salah satu faktor dia. Macam saya tidak lompat sana sini, ‘stand alone’, apa masalah?,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|