Wipers A, Sukma Sabah A juara bola tampar pantai terbuka UMSKAL

Wipers A, Sukma Sabah A juara bola tampar pantai terbuka UMSKAL

Labuan: Pasukan Wipers A dan Sukma Sabah A muncul juara Kejohanan Bola Tampar Pantai Terbuka Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) kategori lelaki dan wanita yang berakhir di Gelanggang Bola Tampar Pantai UMSKAL pada Ahad lalu.

Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abd Hamid menyampaikan hadiah kepada pemain Wipers A sambil disaksikan Dr Ahmad Fadly (dua kiri).

Pada perlawanan akhir itu, Wipers A yang dibarisi Ridzwan Rahman, 22 dan Al-Rashid Kungkoy, 23 mengatasi cabaran rakan sepelatih Wipers B yang dianggotai Mohd Qayyum Awg Tahir dan Bakri Safwan dengan catatan 17-21, 24-22, 15-12.

Zulhelmi Amran menyampaikan hadiah kepada pemain Sukma Sabah A sambil diperhatikan Ahmad Fadly (kiri).

Ridzwan dan Al-Rashid mengucapkan terima kasih kepada jurulatih Dr Ahmad Fadly Abdul Rahman yang membimbing mereka dan berharap mampu memberikan saingan sengit pada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur pada 16 September depan.

Juara, naib juara dan ketiga bersama kategori lelaki.

“Sebagai wakil Wilayah Persekutuan, kami akan memberikan saingan sengit kepada pasukan lain pada Sukma bulan depan,” katanya.

Juara, naib juara dan ketiga bersama kategori wanita.

Bagi kategori wanita, pasukan Sukma Sabah A muncul juara selepas menewaskan pasukan VICS dari Labuan dengan 21-16, 21-17.

Semua pemain lelaki dan wanita yang menyertai Kejohanan Bola Tampar Pantai Terbuka UMSKAL 2022.

Sukma Sabah A yang diwakili Farah Mimie Muhamad Johan dan Zuliza Pilihan juga akan beraksi pada Sukma di Kuala Lumpur, bulan depan.

Pasukan itu yang dilatih Roziati Ibrahim bersedia untuk memberikan saingan kepada pasukan lain.

Pemain VICS yang diwakili Stephenie Jane Henry dan Merissa Lim May Yin juga pernah beraksi untuk pasukan Sukma Wilayah Persekutuan pada 2011 – 2013.

Tempat ketiga kategori lelaki dimenangi bersama pasukan Victory (Bomba Malaysia) dan United dari Perak, manakala kategori wanita diraih pasukan Rhinos Sabah dan Eagle B dari Kedah.

Sementara itu, Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL, Dr Ahmad Fadly Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan yang menyertai kejohanan dari 29 – 31 Julai lalu.

“Ucapan terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu menjayakan kejohanan itu termasuk penaja iaitu MAJU Universal Engineering, SKOM, DIP Jaya Enterprise, Multi Unlimited dan Hintati Recycling Sdn Bhd.

“Tidak lupa juga kepada semua pengadil yang diketuai Mohd Mazlan Ahmad.

“Terima kasih juga kepada semua AJK penganjur yang terdiri daripada staf dan pelajar UMSKAL sendiri,” katanya.

Sebanyak 26 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita termasuk dari Kedah, Perak, WP Kuala Lumpur, Perlis, Sabah, Bomba Malaysia, WP Labuan selain kelab-kelab dari Sabah dan WP Labuan menyertai kejohanan yang dianjurkan Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL itu.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM500, diikuti naib juara RM300 dan ketiga RM100.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abd Hamid menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut menyaksikan perlawanan akhir itu ialah Pengarah JBPM Labuan, Ismaidi Ismail; Pegawai Belia dan Sukan, Majlis Sukan Labuan, Zulhelmi Amran; Pengurus Pasukan Wilayah Persekutuaan, Johan Junior Ong; dan Wakil Persatuan Bola Tampar Sabah, Affandy Awang.

Hadir sama ialah Pengurus V3 Sport, Loh Ai Min; Jurulatih Perak, Wan Kok Ping dan Setiausaha Persatuan Bola Tampar Kedah, Lee Khoon Por.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|