Lelaki terjun sungai, berjaya diselamatkan

Lelaki terjun sungai, berjaya diselamatkan

Beaufort: Seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun ke sungai di Jalan Baru Beaufort, di sini, berjaya diselamatkan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 39 tahun terbabit diselamatkan pasukan bomba bantuan yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Lelaki yang terjun sungai berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.48 petang.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.

“PGO Sabah terima panggilan menerusi MERS999 yang melaporkan terdapat seorang lelaki terjun ke dalam sungai.

“Bagaimanapun, semasa jentera dalam perjalanan ke lokasi, mangsa berjaya diselamatkan anggota skuad Pasukan Bomba Bantuan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang terjun ke sungai berkenaan sempat ditarik ke tebing sebelum kemudiannya diserahkan kepada anggota bertugas.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.19 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|