Wawancara Najib Razak dirakam lebih awal sebelum dipenjarakan

Wawancara Najib Razak dirakam lebih awal sebelum dipenjarakan

Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia menafikan rakaman video membabitkan Datuk Seri Najib Razak dirakam di dalam penjara seperti yang tular dalam media sosial.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, jabatan terbabit menegaskan tiada sebarang rakaman dibuat oleh mana-mana agensi media.

“Hasil semakan menunjukkan video tular dirakam lebih awal oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 iaitu sebelum Datuk Seri (Najib Razak) dipenjarakan.

“Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober lalu menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik,” katanya.

Jabatan terbabit meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa sebarang semakan lanjut.

“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai video berkenaan termasuk pelbagai komen terutama dalam kalangan netizen dan pemimpin pembangkang.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Supri Hashim berkata, setakat ini tiada sebarang kenyataan boleh dikeluarkan oleh mana-mana banduan yang sedang menjalani hukuman penjara.

Arahan itu turut terpakai kepada bekas Perdana Menteri itu jika beliau mempunyai pandangan mengenai suhu semasa politik negara menjelang PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|