Asrama tahfiz terbakar, pelajar selamat

Asrama tahfiz terbakar, pelajar selamat

Papar: Tindakan pantas pasukan bomba mengawal api kebakaran berjaya menyelamatkan bangunan asrama tahfiz di Kampung Sungai Padang, di sini, daripada musnah sepenuhnya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, asrama yang menempatkan pelajar tahfiz berkenaan dilaporkan hanya mengalami kerosakan sekitar 40 peratus keseluruhan bangunan.

Pasukan Bomba memadam kebakaran membabitkan bangunan asrama tahfiz di Kampung Sungai Padang, Papar.

Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 5.36 pagi.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kejadian membabitkan asrama jenis kekal dengan keluasan 111.4 meter persegi yang hanya mengalami kebakaran sekitar 40 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan dari sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian ini dan api berjaya dikawal pada jam 6.25 pagi.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.41 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|