PRU-15: Beri perhatian pembangunan kreatif

PRU-15: Beri perhatian pembangunan kreatif

Kota Kinabalu: Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA) berharap manifesto parti bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini akan turut memberi perhatian kepada pembangunan industri kreatif seperti diwujudkan di Sarawak.

Presiden KKFVA, Chester Pang berkata, sudah tiba masanya parti politik yang bakal menerajui kepimpinan negara memberi perhatian kepada pembangunan industri kandungan digital seperti perfileman di Sabah.

Katanya, ia kerana industri itu turut mampu menyediakan peluang pekerjaan dan meransang ekonomi setempat serta membantu mempromosikan Sabah melalui filem.

“Industri ini semakin rancak dan sejak tahun 2020 sehingga penghujung tahun ini, kita menjangkakan sebanyak lapan filem dihasilkan oleh penerbit tempatan Sabah.

“Tiga daripadanya sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara manakala lima lagi akan ditayangkan pada penghujung atau awal tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Chester berkata, filem Avakas, arahan Marc Abas antara filem yang terawal ditayangkan ketika negara masih diselubungi oleh pandemik Covid-19.

Katanya, ia tidak termasuk penggambaran program televisyen (TV) untuk stesyen TV tempatan seperti RTM, TV Sarawak (TVS), Astro dan luar negara yang dianggarkan melebihi 30 kandungan.

“Sebelum ini kebanyakan rakan dalam industri mencadangkan untuk meletakkan KKFVA dalam sebuah agensi atau mana-mana badan jabatan kerajaan negeri.

“Ia untuk membolehkan pengwujudan sebuah pusat sehenti (one stop center) bagi membolehkan penggiat seni mendapatkan maklumat dan tatacara permohonan permit bagi melancarkan penggambaran di Sabah,” katanya.

Selain itu, Chester yang juga penerbit filem “Craze Below The Wind” berkata, agensi berkenaan boleh menyelaraskan dana diperuntukkan kerajaan persekutuan terutamanya melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) untuk disalurkan kepada penerbit tempatan.

“Sebagai contoh TVS diletakkan dibawah Sarawak Media Group (SMG), yang merupakan anak syarikat Kerajaan (GLC) Sarawak.

“Ia berjaya memacu perkembangan industri kreatif sehingga berjaya menarik penerbitan filem ”Edge of the world” dari Hollywood yang bernilai RM48 juta.

“Malah, kini ramai tenaga mahir Sarawak juga kembali ke Sarawak untuk merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak termasuk penerbit dan pengarah filem dari Sabah serta Semenanjung Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Chester turut berterima kasih kepada Finas kerana memberi peluang dan membimbing penggiat seni di Sabah sejak tahun 2018 dan semasa kawalan pergerakan (PKP) tahun 2020 serta 2021.

Katanya, ia turut menyediakan dana mikro yang mana sedikit sebanyak dapat membantu penggiat industri itu di Sabah.

Terdahulu, dalam mesyuarat jawatankuasa KKFVA, Mohd Hazrien Khamis dan Lau Yon Hau dilantik sebagai ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2023- 2025.

Turut dipersetujui dalam mesyuarat ialah pengganjuran pertandingan filem pendek ”Golden Wind Award” edisi ke-3 pada tahun hadapan selepas terhenti sejak empat tahun lalu.

Turut hadir pada mesyuarat bulanan KKFVA berkenaan ialah Setiausaha persatuan Samuel Tsen, Bendahari Samantha Wong, Penolong Setiausaha Christina Fong, ahli jawatankuasa Lee Chun Chieh, Ho Thau Kyun dan Ryan Ong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|