Semporna: Parti Warisan (WARISAN) mengambil langkah berhati-hati berhubung cadangan untuk membentuk kerjasama baharu pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau bimbang kejadian sebelum ini yang disebut Langkah Sheraton berulang semula jika menerima cadangan itu yang disuarakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan digantikan PN tidak boleh dibiarkan berulang kerana tidak membawa kebaikan dalam penyatuan.
“Keadaan politik negara tidak begitu stabil sebaik sahaja Langkah Sheraton yang didominasi oleh PN berlaku.
“Kesannya, bukan sahaja keyakinan rakyat dalam negara, bahkan negara luar dan pelabur juga sudah tidak begitu yakin dengan kerajaan sekarang.
“Senario itu sangat membimbangkan kerana kestabilan politik negara dilihat semakin meruncing dan menyebabkan rakyat menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa dan Iftar yang dihadiri hampir 1,000 penduduk, di sini, semalam.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, ketidakstabilan politik negara akan berterusan selagi rakyat tidak mahu mengubahnya kerana semua itu bergantung kepada rakyat untuk menentukan keadaan politik negara.
Jelasnya, jika rakyat memilih pemimpin yang baik, maka negara boleh membentuk satu penyatuan ummah menerusi kestabilan politik.
“Justeru, saya sudah menyatakan pendirian untuk tidak mahu bekerjasama dan meminta Muhyiddin supaya jangan melibatkan WARISAN dengan perancangannya itu,” katanya.
Dalam pada itu, Shafie berkata, ketika ini, WARISAN hanya mahu memperkuatkan dan memperbaiki dalaman parti dahulu serta enggan memikirkan parti pihak lain dalam usahanya untuk menjadikan WARISAN sebagai pilihan rakyat negara ini.
Pada majlis berkenaa, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menyampaikan sumbangan kepada 100 penerima yang terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan golongan asnaf.
-Deasoka