Kota Kinabalu: Umat Islam perlu sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) meskipun dibenar menunaikan solat tanpa penjarakan di semua surau dan masjid berkuatkuasa 1 April lalu selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik Covid-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, berkata kelonggaran itu sangat bermakna lebih-lebih lagi dengan kehadiran Ramadan yang membolehkan umat Islam mengimarahkan masjid dan surau dengan mengerjakan solat sunat Terawih.
Katanya, selepas dua tahun tidak dapat ke masjid untuk berterawih beramai-ramai, peluang seumpama itu sangat dinantikan, lebih-lebih lagi menunaikan solat tanpa perlu penjarakan saf.
“Keputusan itu akan kembali mengimarahkan fungsi masjid dan surau pada bulan yang mulia dan penuh berkat ini.
“Kita sangat bersyukur dengan izin Allah rumah ibadah sudah mula dipenuhi dengan kehadiran umat Islam sekitar kawasan setempat.
“Marilah kita berazam untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara satu sama lain. Dalam masa sama pematuhan SOP tetap menjadi keutamaan agar semuanya berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan sempena Bulan Ramadan di Masjid Al-Jannah, Taman Sepanggar, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama Yakub yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, berkata program ‘Jelajah Bulan Ramadan’ yang dirancang UMNO Bahagian Sepanggar sempena Ramadan kali ini disasar untuk mengimarahkan aktiviti masjid dan surau di samping menghulur sumbangan bagi keperluan rumah ibadat itu.
“Peluang ziarah ini akan dimanfaatkan untuk melihat keperluan pembangunan yang perlu diambil tindakan dalam tempoh terdekat.
“Kita mengalu-alukan kunjungan mereka ke pejabat ADUN Karambunai sekiranya terdapat keperluan yang boleh disalurkan bagi memberi keselesaan kepada Masjid Al-Jannah, Taman Sepanggar,” katanya.
-Deasoka