Dua anggota TLDM maut dalam nahas jalan raya

Kota Kinabalu: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang sebuah lori treler dalam kejadian berhampiran terowong di Jalan Sepanggar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, Ahmad Faiz Mohd Hanif, 38, dan Norasnizam Mohd Alui, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Keadaan mangsa dan motosikal yang berada di bawah treler dalam kemalangan berhampiran terowong di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua mangsa masing-masing menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR serta Y16ZR dan bergerak dari arah terowong menghala ke Pelabuhan Sepanggar.

Bagaimanapun katanya, sebuah lori treler yang berada di laluan bertentangan pula dikatakan cuba berpatah balik ke Pelabuhan Sepanggar.

Lokasi kejadian dua anggota TLDM terkorban dalam kemalangan berhampiran terowong di Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Ketika membuat pusingan-U, pemandu lori terpaksa memperlahankan kenderaan selepas terganggu dengan sebuah kenderaan lain yang diletakkan di kiri bahu jalan.

“Kedua-dua mangsa dipercayai gagal melihat treler dan terus merempuh belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya ditemui terperosok di bawah treler bersama kedua-dua buah motosikal.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dilokasi oleh pasukan perubatan dari Hospital Likas.

“Keadaan lokasi gelap dan lampu jalan juga tidak berfungsi dan pemandu lori serta kedua-dua mangsa juga tidak disyaki mabuk.

“Namun spesimen darah semua yang terlibat sudah diambil untuk ujian Jabatan Kimia dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam.

Katanya, pasukan bomba yang tiba terus menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pemeriksaan di sekitar lokasi turut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.33 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|