Persidangan khas RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan – Chan Foong Hin

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berharap persidangan khas untuk membincang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan dan Anti Lompat Parti dapat diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakan perkara itu akan dibahaskan pada sidang Parlimen Julai depan.

Foong Hin memberi penerangan kepada Young Shefura sebelum berbuka puasa bersama penduduk Taman Keramat, Likas.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap, perkara itu dapat diadakan secepat mungkin dan sebaiknya diselesaikan menjelang akhir Mei depan.

“Pihak Pakatan Harapan (PH), kita mengharapkan ia boleh dipercepatkan. Jadi kita minta satu lagi persidangan khas untuk menyelesaikan RUU baharu kali ini.

“Ia membabitkan dua perkara iaitu pindaan perlembagaan untuk memberikan landasan dan satu lagi RUU baharu yang khusus untuk anti lompat parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama penduduk Taman Keramat, Likas, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe.

Sementara itu, Foong Hin berkata, beliau turut menyeru pemimpin di peringkat akar umbi supaya tidak terlalu mempolitikkan isu itu.

Katanya, ada pihak yang mengkritik PH tertipu dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara PH dan kerajaan selain ada mendakwa kerajaan tidak komited dengan usaha dijanjikan.

“Mungkin mereka tidak faham dengan proses Parlimen. Penggubalan undang-undang ini bukan semudah yang disangkakan.

“Saya menerima baik segala bentuk kritikan, cuma ia haruslah berlandaskan sesuatu yang berfakta.

“Hari Isnin lalu, semua Ahli Parlimen berkumpul untuk pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan supaya memberikan landasan kepada RUU baharu, khusus untuk anti lompat parti,” katanya.

Foong Hin berkata, satu Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan di peringkat Parlimen untuk mengkaji apa yang dipersetujui semua pihak.

Katanya, secara prinsipnya, tiada Ahli Parlimen yang tidak bersetuju, namun masalah yang timbul adalah definisi yang diistilahkan sebagai ‘lompat’.

“Sebagai contoh, apabila seorang calon bebas menang, selepas itu adakah dia boleh menyertai parti lain.

“Begitu juga apabila seorang ahli politik yang tidak bersetuju dengan keputusan partinya dan mahu keluar parti. Adakah itu dikira lompat.

“Oleh itu, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan sebelum dibentangkan kemudian. Kita harap ia boleh dibentangkan sebelum akhir Mei depan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Young Syefura berkata, aktiviti berbuka puasa bersama penduduk adalah inisiatif untuk meraikan Ramadan bersama.

Katanya, ia adalah salah satu aktiviti sihat yang boleh dilakukan selepas dua tahun ditangguhkan akibat penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Hari ini, kita dapat berbuka bersama, berjumpa kembali dengan jiran tetangga di sini. Ini satu aktiviti yang sangat sihat dan baik asalkan kita menjaga SOP, menjaga diri, menjaga penjarakan. Saya rasa tiada masalah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|