WARISAN tidak ‘tutup pintu’ – Shafie

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) menolak tanggapan bahawa parti itu ‘menutup pintu’ daripada bekerjasama dengan mana-mana parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, buat masa ini beliau mahu mengukuhkan terlebih dahulu parti itu sebelum menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak.

Mohd Shafie ketika sidang akhbar di ibu pejabat WARISAN di Kolombong, Kota Kinabalu.

“Kita akan lihat (kerjasama), saya tidak kata kita akan bergerak sendiri atau ada pakatan. Kita kukuhkan dulu parti, kita ada penilaian sendiri.

“Saya berkawan dengan sesiapa saja, dengan orang DAP, PKR. Saya tidak boleh tutup pintu saya,” katanya kepada media selepas melancarkan Warisan Care di ibu pejabat WARISAN di Kolombong, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada WARISAN akan bergerak secara solo di Sabah pada PRU akan datang.

Tambah beliau lagi, kerjasama antara parti politik perlu dilakukan terutama apabila sesebuah parti itu menjadi kerajaan di sesebuah negeri dan parti yang lain menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan, namun ia mesti berlandaskan sebuah kerjasama pintar.

“Macam di Sabah jadi kerajaan (negeri) kita mesti bekerjasama dengan Semenanjung (Persekutuan) kerana kita dalam sebuah negara, tetapi kita mesti bijak untuk memperincikan dengan bentuk dan siapa kita mahu kerjasama itu, kita tidak kata mahu gerak sendiri tetapi kita kena teliti dahulu,” katanya.

Diminta mengulas lanjut hala tuju kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) beliau menasihat MUDA juga harus mengutamakan parti mereka terlebih dahulu.

“Dari awal saya maklumkan kepada Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), bila saya lancarkan parti saya di Semenanjung, saya lancarkan dulu, kemudian dia (MUDA) lancarkan dan selepas itu kita sain memorandum tetapi ia tidak berjalan dengan lancar.

“Jadi saya ada bercakap dengan Saddiq semalam, saya kukuhkan parti saya, kamu kukuhkan parti kamu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|