Kota Kinabalu: Sudahlah terpaksa berbaris panjang untuk memperbaharui passport di Jabatan Imigresen, di sini, ramai pelanggan jabatan itu mengeluh apabila dimaklumkan sistem ‘offline’ setelah lama menunggu.
Itu antara rungutan diluahkan pelanggan Jabatan Imigresen Sabah yang berurusan di ibu pejabatnya di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau Mini Putrajaya, di sini, hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain, yang menjadi antara mangsa keadaan itu, berkata beliau hairan bagaimana sistem pembaharuan passport jabatan itu boleh tergendala atau ‘offline’.
Katanya, Jabatan Imigresen Sabah perlu memberikan penjelasan punca berlakunya masalah itu sama ada disebabkan gangguan jaringan sistem dengan Putrajaya atau hanya berlaku di negeri ini.
Beliau berkata, banyak masa terbuang disebabkan terpaksa berbaris panjang dan tambah merugikan apabila urusan tergendala atau tidak dapat disempurnakan disebabkan sistem Jabatan Imigresen yang ‘offline’.
“Hari ini masa produktif terbuang beratur di Jabatan Imigresen Sabah. Mula-mula saya beratur panjang di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau ‘Mini Putrajaya’ tapi macam tidak bergerak barisannya.
“Saya cuba nasib pula di UTC dan memecut ke pusat bandar KK. Bila sampai sana, hampa. Pejabat Imigresen UTC tutup. Ada notis jelas ‘OFFLINE’ dan hanya akan dibuka balik esok bermula 8 pagi hingga 8 malam.
“Pasrah dengan keadaan itu, saya balik lagi ke Mini Putrajaya mencuba nasib kali kedua. Beratur lagi saya sehinggalah ada Pegawai Jmigresen maklumkan bahawa mereka juga ‘offline’ dan tidak diketahui bila akan ‘online’.
“Jadi saya balik pejabat sambung buat kerja dan bercadang mencuba nasib kali ketiga pada sebelah petangnya. Tepat 3 petang, saya lari lagi ke pejabat Imigresen Mini Putrajaya mana tahu ada harapan atau ‘pok silap’. Bila sampai, sama juga ceritanya, masih ‘offline’ dan tidak diketahui bila ‘onlinenya’,” luahnya dalam perkongsian di laman Facebook beliau, hari ini.
Katanya, apa yang menghairankan ialah hanya Jabatan Imigresen yang berdepan masalah sistem ‘offline’ sedangkan jabatan lain urusan berjalan lancar seperti biasa.
“Kenapa ini berlaku? Apa yang buatnya offline? Masalah ‘connectivity’ dengan Putrajaya? Tapi di Kelana Jaya ‘okay’ saja. Boleh ‘extend’ lagi sampai pukul 10 malam operasi.
“Apa masalah ‘offline’ ini? Pasti bersebab. Mohon Jabatan Imigresen Sabah berikan penjelasan yang sewajarnya sebab ramai pelanggan yang beratur dan kecewa,” katanya.
Abdul Aziz berkata, sebagai pelanggan, beliau bertanggungjawab untuk berkongsi masalah itu kepada orang ramai agar perkara seumpama itu tidak berlaku lagi.
Katanya, amat merugikan masa produktif orang ramai yang berurusan dengan jabatan kerajaan terbuang disebabkan sistem penyampaian yang bermasalah.
Tegasnya, jabatan kerajaan perlu meningkatkan lagi kecekapan pada masa akan datang.
“Esok saya cuba nasib kali keempat, mudah-mudahan ‘sukses’. Kepada rakan-rakan di luar sana yang mahu ke Imigresen esok tapi tidak tahu ‘offline’ atau ‘online’, bolehlah hubungi no telefon – KPKPS – 088 488705/703, 088 488780; UTC – 088 270589,” katanya.
-Deasoka