Penampang: Percanggahan pendapat sebahagian pemimpin Parti Warisan (WARISAN) berhubung isu kad pengenalan (IC) Sabah menunjukkan mereka tidak senada dalam usaha mengurangkan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Isu itu timbul berikutan laporan yang mengatakan Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking bersetuju dengan IC Sabah, manakala Naib Presiden WARISAN, Datuk Dr Jaujan Sambakong pula mengatakan bahawa IC Sabah bukan jalan penyelesaiannya.
Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jafery Jomion mendakwa alasan yang dikemukakan Jaujan menggambarkan yang beliau bukan seorang yang patriotik.
“Ini kerana beliau tidak mempunyai perasaan cintakan negara dan masih lagi cintakan rakyat, keturunannya walaupun dia dilahirkan dan membesar serta berkhidmat di Sabah sebagai wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jafery dalam pada itu turut menegaskan bahawa ramai juga pemimpin berketurunan Cina di Sabah atau negara ini namun mereka tidak pro pendatang asing dari China.
“Begitu juga pemimpin berketurunan dari Indonesia yang setakat ini tidak nampak sangat mereka menyokong pendatang asing dari Indonesia walaupun ramai rakyat berketurunan dari Indonesia dan Filipina mendapat projek IC sejak awal tahun 1970-an.
“Kecuali Jaujan dan Shafie (Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang tidak bersetuju dengan IC Sabah dan mahu Pas Sementara Sabah (PSS) diteruskan sebagai penyelesaian keseluruhan,” katanya.
Sehubungan itu, Jafery memohon kepada semua ahli politik tanpa mengira keturunan, kaum dan agama supaya lebih patriotik, bersatu dan mempertahankan kedaulatan Sabah.
“Elak lakukan kerosakan politik, sosial dan ekonomi negeri Sabah dengan tampil bersama-sama Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menangani dan menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Kerajaan Persekutuan juga diharap untuk memberi autonomi sepenuhnya kepada kerajaan Sabah untuk mengeluar IC Sabah sendiri sebagai penyelesaian bagi mengurang masalah PATI.
“Ini bagi memastikan Sabah tidak menjadi seperti Selatan Filipina yang tidak mempunyai keamanan dari dulu hingga hari ini kerana tahap pendidikan dan sosial ekonomi yang tidak seimbang dakam kalangan rakyatnya, “katanya.
-Deasoka