Kota Kinabalu: UMNO Bahagian Sepanggar tekad untuk menjadi penyumbang kepada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, jati diri dan kesetiaan yang ada di kalangan pemimpin serta akar umbi bahagian itu dijangka menjadi titik tolak kepada kemaraan UMNO di Sepanggar.
Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, kerjasama utuh di antara kedua-dua entiti itu turut dilihat akan menarik kepercayaan rakyat khususnya di bahagian berkenaan, untuk memilih BN dan UMNO.
“Sudah tentu, dengan adanya kerja berpasukan antara semua pihak, saya percaya kita (UMNO Sepanggar) akan menjadi penyumbang kepada kemenangan BN pada PRU-15 nanti.
” Namun begitu, saya sentiasa mengingatkan kepada semua baik pemimpin mahupun ahli akar umbi di Sepanggar ini, kita perlu kuatkan jentera sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya bersempena sesi Taklimat dan Bengkel Persiapan PRU-15 dan majlis iftar anjuran UMNO Bahagian Sepanggar, di Kota Kinabalu, malam tadi.
Untuk rekod, UMNO/BN Sepanggar terlepas kerusi P. 171 Parlimen Sepanggar dalam keputusan PRU-14 yang lalu selepas memenanginya pada pilihan raya umum sebelumnya.
Dalam pada itu, Yakub turut meminta akar umbi bahagian berkenaan terus menyantuni golongan muda yang berpotensi sebagai penentu kepada keputusan PRU-15 akan datang.
“Giatkan aktiviti mendekati anak muda, biar kita kenalkan dan memperterjemahkan makna kestabilan politik yang UMNO/BN tawarkan kepada mereka.
” Perkara ini haruslah digembeleng bersama kerana merekalah penyambung kepada perjuangan kita dan dalam masa sama, menyahut generasi ke hadapan yang memilih kepada politik stabil di negara dan negeri ini,” katanya.
-Deasoka