WARISAN tidak goyah – Shafie Apdal

WARISAN tidak goyah – Shafie Apdal

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) tidak goyah dengan tindakan beberapa pemimpin tertingginya keluar meninggalkan parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tindakan ahli keluar parti adalah lumrah atau perkara biasa dalam berpolitik.

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita di KKIA, Kota Kinabalu.

Namun katanya, tindakan itu tidak akan memberi sebarang perubahan kepada rakyat atau negara.

“Tidak goyah, kita biasa dalam politik. (Sebelum ini) Parti Bersatu Sabah (PBS) dulu, melahirkan banyak anak (parti) antaranya Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Liberal Demokratik (LDP). Tapi tiada sebarang perubahan berlaku.

“Itulah yang kita katakan ‘ubah’, kita kena ada perubahan dan kalau kita tidak bermula contohnya di sini, maka negara kita masih di landasan yang mana keadaan kaum dan agama membimbangkan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa WARISAN kini semakin goyah disebabkan tindakan beberapa pemimpin tertingginya, termasuk yang terbaharu bekas Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony, keluar parti baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap Peter, Mohd Shafie berkata, beliau memahami situasi yang dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu.

“Tiada tindakan yang kita ambil, dia sudah keluar parti, tiada apa tindakan kita harus ambil. Bukan hal saya untuk menjalankan (undang-undang), itu serahkan kepada pihak yang berwajib.

“Tapi, saya simpati dengan beliau (Peter) dan faham keadaan dia, tekanan yang dia hadapi, bukan saya tidak faham, bukan saya tidak tahu dalam dunia politik,” katanya.

Menurutnya, setiap ahli politik sebaliknya perlu ada pendirian dan ketegasan dalam memperjuangkan parti.

“Dulu pun saya begitu, ditahan, tidur di lantai, macam-macam tetapi kita kena ada pendirian, kita kena ada ketegasan.

“Ini termasuk disiplin hidup, pegangan apa yang kita mahu, saya masuk gelanggang politik untuk apa,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penerimaan parti itu di Semenanjung, Mohd Shafie berkata, ramai yang menyatakan keinginan untuk menyertai WARISAN.

“Alhamdulillah, ramai. Sepatutnya, saya berada di Johor minggu ini, (untuk) terima orang masuk. Bekas UMNO, bekas MIC, bekas MCA, bekas pejuang-pejuang Bersatu, ada.

“Tetapi kita tunggulah, kita tak mahu cakap banyak sangat, serahkan kepada mereka, rakyat menentukan tentang kehidupan perjalanan negara ini,” katanya.

Mohd Shafie berkata, ramai yang menyuarakan kebencian terhadap ahli politik kerana perubahan tidak akan berlaku.

“Kalau kita tunggu ahli politik berubah, ia tidak berubah. Kita kena pastikan rakyat untuk mengubah keadaan negara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|