WARISAN teliti cadangan kerjasama dengan parti lain – Shafie Apdal

WARISAN teliti cadangan kerjasama dengan parti lain – Shafie Apdal

Kota Kinabalu: “Kita terbuka, kita teliti secara mendalam, kita lihat mana-mana pihak tidak semestinya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak semestinya UMNO, kita lihat bagaimana kedudukan kita,” kata Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hari ini.

Itu maklum balas bekas Ketua Menteri Sabah itu ketika ditanya mengenai kemungkinan WARISAN akan mengadakan kerjasama dengan GRS memandangkan Barisan Nasional (BN) tiada dalam gabungan itu.

Mohd Shafie pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN di Kota Kinabalu.

Beliau mengakui, WARISAN memang perlu mengadakan kerjasama dengan parti lain kerana menyedari sukar untuk mereka berjuang secara bersendirian.

“Kita sedar dan tahu kalau kita bersendirian tidak mudah, kita sedar dan tahu kalau kita ada perkongsian atau kerjasama seperti konsep yang dilakukan Sarawak, mereka ada mana-mana parti bekerjasama rapat dengan mana-mana kerajaan hari ini di peringkat Pusat.

“Apa yang penting kita sediakan parti kita sekarang untuk PRU,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN, di Ibu Pejabat WARISAN, di Kolombong, di sini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, WARISAN tetap bersedia untuk berhadapan dengan PRU yang dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

“Kerana apa yang kita nampak seperti yang disuarakan pimpinan UMNO khususnya mereka menyatakan bahawa pemilihan parti akan diadakan selepas pilihan raya.

“Maknanya, pemilihan parti itu pada bulan Disember jadi pilihan raya boleh pada bila-bila masa saja sebelum Disember, boleh jadi selepas raya, boleh jadi September kita tidak tahu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|