UMNO perlu utamakan persediaan jentera BN untuk PRU-15 – Bung Moktar

UMNO perlu utamakan persediaan jentera BN untuk PRU-15 – Bung Moktar

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin menekankan persediaan jentera Barisan Nasional (BN) perlu menjadi keutamaan sebelum berdepan Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, PRU-15 adalah peperangan besar dalam politik selepas kekalahan BN pada PRU-14.

Bung Moktar sejurus tiba bagi menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Sama ada cepat atau lambat PRU tetap akan berlaku, perkara pokok yang menjadi keutamaan kita ialah tahap kesiapsagaan jentera PRU, bukan seperti berhadapan Pilihanraya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) semua jentera berkumpul di satu kawasan.

“PRU pula lebih berskala besar memerlukan persediaan yang lebih terperinci bagi memastikan UMNO BN kembali mendapat mandat rakyat,” katanya.

Bung Moktar berbincang bersama Ahmad Zahid selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akur kepada pilihan akar umbi yangmana sebanyak 186 bahagian daripada 190 bahagian UMNO yang bermesyuarat bersetuju agar pemilihan parti diadakan selepas PRU.

Zahid dalam ucapan dasarnya berkata keputusan itu bukan keputusan beliau sendiri, ianya diputuskan oleh akar umbi dalam mesyuarat bahagian masing-masing dan sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa pemilihan parti diadakan selepas PRU yang sudah bertahun-tahun diamalkan.

Menurut Bung Moktar, mesej Ahmad Zahid dalam ucapan dasar itu jelas agar jentera BN di semua peringkat perlu diperkukuhkan demi membentuk gerak kerja yang tersusun dan rapi bagi memastikan kemenangan BN pada PRU-15.

Jelas Bung Moktar lagi, misi utama sekarang ialah bagi memastikan kemenangan BN dalam PRU-15 bagi mengemudi pentadbiran negara selepas kegagalan dua kerajaan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan kestabilan politik menyebabkan ekonomi negera terjejas dan kebajikan rakyat terabai.

“Jika kita mengadakan pemilihan parti sebelum PRU-15 kita bimbang akan berlaku perpecahan dalaman parti sehingga menjejaskan persediaan dan tumpuan untuk untuk menghadapi PRU,” katanya.

Bung Moktar berkata buat masa ini perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah meneliti semua perkara berkaitan termasuk sentiman rakyat.

“Sekiranya kita (BN) sudah bersedia, PRU boleh disegerakan, bila tarikhnya terserah kepada budi bicara Perdana Menteri setelah berunding secara dalam bersama majlis kerja tertinggi UMNO untuk meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mengenai penjenamaan dan penstrukturan BN bagi menghadapi PRU-15, Bung Moktar berkata ia satu pendekatan bijak dengan memberikan tawaran yang lebih komprehensif kepada rakyat selaras dengan perkembangan semasa bagi memastikan BN kekal relevan di hati rakyat.

” Saya bersetuju dalam memasarkan jenama BN kita perlu membuka ruang kepada lebih ramai anak muda untuk menyertai gelanggang politik kerana kita perlu akui dalam PRU-15 kita akan berhadapan dengan pengundi 18 tahun jadi pendekatan kita perlu memenuhi aspirasi golongan ini agar mereka bersama dalam perjuangan BN,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|