Kerajaan akan cari jalan bantu mangsa kebakaran

Kerajaan akan cari jalan bantu mangsa kebakaran

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mencari jalan untuk membantu mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Tawau pada Khamis lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan sudahpun mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mengambil langkah segera memberi bantuan awal kepada mangsa yang terjejas dalam kebakaran di Tawau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor

“Kerajaan akan mencari jalan membantu mangsa-mangsa kebakaran yang berlaku di Tawau.

“Kita telah arahkan JKM dan juga MPT untuk mengambil tindakan atau langkah-langkah bantuan awal kepada mangsa-mangsa tersebut,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan berhubung mangsa yang terjejas akibat kebakaran di perkampungan atas air di Jalan Apas Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, dianggarkan kira-kira 700 rumah musnah terbakar dan menurut laporan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah, seramai 1,338 mangsa dikenal pasti terjejas akibat kejadian itu.

Bagaimanapun, setakat hari ini, hanya seramai 317 daripada jumlah mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Kinabutan Kecil dan Dewan Serbaguna Kampung Hidayat Batu 4, Tawau.

Christina melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS di Tawau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew yang melawat mangsa kebakaran di lokasi semalam, turut mencadangkan supaya mangsa yang terjejas diberi keutamaan untuk ditempatkan di rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Beri keutamaan kepada mangsa dan saya akan menulis surat kepada kerajaan Sabah bagi pihak mereka supaya mangsa boleh memohon sebuah rumah PPR nanti,” katanya.

Sebelum itu, Christina turut mengumumkan bantuan wang tunai sebanyak RM10,000 dan bantuan makanan kepada mangsa kebakaran terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|