Sabah sasar kutip RM1.2 bilion setahun melalui projek tanaman kelapa

Sabah sasar kutip RM1.2 bilion setahun melalui projek tanaman kelapa

Beluran: Sabah disasar mengutip sehingga RM1.2 bilion setahun menerusi projek penanaman kelapa berpenghasilan tinggi yang dilaksanakan di Paitan, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek bernilai RM400 juta itu di kawasan seluas 2,000 hektar itu juga dijangka mampu mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan.

Hajiji menandatangani plak ketika melancarkan projek penanaman kelapa berpenghasilan tinggi di Paitan.

Katanya, projek itu yang merangkumi pembinaan kilang pemprosesan produk berasaskan kelapa adalah antara pelaburan yang direalisasikan menerusi inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026, pelaburan projek kelapa berpenghasilan tinggi ini disasar menyediakan sebanyak 4,400 peluang pekerjaan.

Kawasan penanaman kelapa yang diusahakan Linaco Resources di Paitan.

“Projek ini juga mampu memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dan mengubah keadaan Paitan selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah ini dan sekitarnya,” katanya pada majlis pelancaran projek itu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pengarah Eksekutif Linaco Resources Sdn Bhd, Joe Ling.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut memegang 30 peratus kepentingan dalam projek itu yang dikendalikan syarikat tempatan dari Selangor, Linaco Resources Sdn Bhd.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri memberi jaminan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus melaksanakan agenda pembangunan untuk membawa kemajuan kepada negeri dan rakyatnya.

“Menerusi Belanjawan 2022, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM561.81 juta untuk sektor pertanian yang menjadi antara tiga bidang yang diberi tumpuan dalam SMJ,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|