WARISAN sokong tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

WARISAN sokong tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Tawau: Parti Warisan (WARISAN) menyokong cadangan untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hingga mencapai satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kerusi Parlimen seluruh negara.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata tambahan kepada lebih 70 kerusi berbanding hanya 56 kerusi ketika ini adalah wajar dan patut disokong.

Mohd Shafie melawat sambil menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, Tawau.

Beliau berkata, perkara itu juga temaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sepatutnya dilaksanakan untuk memberi keadilan kepada Sabah dan Sarawak.

“Kalau dikira kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak pada hari ini, jumlahnya kurang daripada satu pertiga iaitu hanya 56 kerusi sahaja daripada 222 kerusi jumlah kerusi Parlimen keseluruhan.

“Jika satu pertiga, Sabah dan Sarawak perlu mempunyai lebih 70 kerusi dalam Parlimen,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pelbagai pihak, khususnya parti politik meminta agar kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak ditambah bagi mencukupkan jumlah satu pertiga.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tambahan kerusi untuk Sabah dan Sarawak itu dapat memberi keseimbangan suara dalam Parlimen.

“Sokongan mengenai MA63 ini tidak berkaitan dengan ideologi politik tetapi ia adalah hak dan suara rakyat Malaysia dari Sabah serta Sarawak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|