Bantu mangsa kebakaran dapatkan penempatan kekal – Shafie Apdal

Bantu mangsa kebakaran dapatkan penempatan kekal – Shafie Apdal

Tawau: Mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, di sini perlu dibantu mendapatkan tapak penempatan kekal termasuk melihat kesesuaian mewujudkan penempatan tersusun di kampung berkenaan.

Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan perlu meneliti perkara itu demi kebajikan rakyat, khususnya mangsa kebakaran yang kehilangan kediaman.

Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, Tawau.

“Ketika WARISAN mentadbir negeri ini, kebajikan mangsa kebakaran sangat diutamakan supaya mereka boleh membina kediaman yang lebih baik.

“Kebakaran yang pernah berlaku di Tanjung Batu Otentik, saya bawa Yang di-Pertuan Agong melawat kawasan itu dan merancang mengagihkan tanah supaya mereka membina semula rumah.

“Kita sudah berunding dengan pemilik tanah di kawasan itu dan berjaya mengatasi masalah penempatan semula mangsa kebakaran pada waktu itu,” katanya ketika melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran, di sini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat terus tinggal di kawasan yang setinggan, sebaliknya mencari jalan untuk mengatasinya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengkaji untuk mewujudkan penempatan lebih tersusun seperti di Kampung Kurnia Jaya.

Katanya, perkara itu akan dibangkitkannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bermula esok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|