WARISAN sedia jika DUN Sabah dibubarkan

WARISAN sedia jika DUN Sabah dibubarkan

Penampang: Parti Warisan (WARISAN) bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15) termasuk kemungkinan jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya sudah bersedia termasuk mengenal pasti senarai calon bagi 26 bahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Mohd Shafie ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan WARISAN 2021, di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.

“Ya kita besedia malah dari segi calon pun kita sudah tahu. Saya sudah maklumkan dengan semua bahagian bagi senarai dan saya sudah kenal pasti yang mana-mana bahagian 26 kerusi yang ada iaitu untuk Parlimen, untuk DUN pun saya sudah kenal pasti.

“Kalau mereka bubar takkan kita tak sediakan, kita sudah ada pilihan raya yang dulu di Sabah dan kita tahu pilihannya.

“Kita tidak boleh hanya melihat Parlimen saja (bubar). Kita tidak tahu sama ada mereka akan bubar (DUN) tetapi kita sedia saja kita tidak boleh tunggu sehingga mereka umumkan. Kesiapsiagaan untuk kita tentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media berhubung persediaan WARISAN untuk menghadapi PRU-15 berikutan pembentangan Bajet yang akan diadakan pada 7 Oktober depan dijangka sebagai petanda akan berlakunya pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Sebelum itu, Mohd Shafie merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan 2021, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai calon, beliau menegaskan bahawa tidak semestinya ahli yang memegang jawatan akan menjadi pilihan sebagai calon dalam PRU-15.

“Itu yang kita tekankan yang penting kepada kita ialah yang bertanding ini ialah WARISAN, bukan orangnya. Tetapi kalau orang itu boleh menang, boleh diterima rakyat, kita akan letak calon.

“Jadi tidak jadi masalah yang penting pada kita kemenangan dalam pilihan raya apa juga perhitungan kita tidak mahu jadi ukuran, jadi rebutan.

“Tidak semestinya dia ada jawatan ketua bahagian, timbalan atau Ahli Majlis Tertinggi (AMT) sah jadi calon, ada juga pemimpin lain dalam mana-mana parti politik pun pegang jawatan tidak jadi calon,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|