Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memberi keutamaan kepada aspek pendidikan untuk melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadikan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai teras keduanya.
Beliau berkata, sejajar dengan usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti untuk memacu pembangunan negeri, maka amat tepat pelancaran Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS yang dilaksanakan pada hari ini.
“Usaha ini membuktikan komitmen yang utuh daripada PETRONAS untuk menyumbang semula kepada negeri ini secara holistik dan menyeluruh dari segi pembangunan keupayaan.
“Sabah, melalui agensi-agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan memberi sokongan penuh kepada agenda ini.
“Bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan agenda ini, seluruh ekosistem perlu bersatu dan bergabung tenaga demi memastikan program dijalankan seperti yang dirancang dan kita sentiasa bersedia memberi serta menerima maklum balas untuk penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS di Marriot Hotel, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, selari dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan, kerajaan negeri memperuntukkan RM55 juta dalam Belanjawan Sabah 2022 untuk meneruskan pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk memenuhi tuntutan pasaran pada masa akan datang.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berkongsi kegembiraan dan bangga dengan pencapaian cemerlang anak-anak Sabah kerana lebih 100 pelajar ditawarkan biasiswa melalui PETRONAS Education Sponsorship Programme (PESP) pada tahun ini.
“Tajaan ini akan membuka peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Universiti Teknologi PETRONAS serta universiti berprestij tanah air dan di luar negara.
“Ini adalah salah satu agenda utama PETRONAS dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan modal insan untuk menaik taraf sosio ekonomi penduduk setempat, sekali gus dapat membantu pembangunan negeri Sabah terutamanya dalam penyediaan tenaga kerja mahir dalam bidang minyak dan gas serta bidang industri lain pada masa hadapan,” katanya.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, jerajaan negeri juga amat berbesar hati dengan termeterainya dua memorandum persefahaman (MoU) yang akan membawa perkembangan positif kepada landskap industri minyak dan gas di negeri ini.
MoU pertama ialah di antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan PETRONAS Global Technical Services Sdn Bhd untuk meneroka kerjasama dalam bidang keupayaan teknikal dan pensijilan program serta latihan teknikal.
MoU kedua adalah di antara Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha meningkatkan kecekapan saintifik, teknikal, kejuruteraan, pendidikan dan membangunkan program yang bermanfaat bagi kedua-dua pihak.
Beliau optimis, semua usaha itu akan memberi manfaat kepada Sabah, terutama dalam sektor minyak dan gas yang kini sedang giat dilaksanakan di Sabah.
“Sudah tentu hubungan ini akan membawa nilai tinggi dalam pengalaman pembelajaran pelajar yang terlibat sekali gus meningkatkan profil UTP dan UMS,” katanya.
Hajiji berkata, pada tahun lalu, Sabah mencatatkan satu kejayaan bersejarah dengan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri yang dikenali sebagai, SMJ Sdn Bhd hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS.
“Ini bermakna penglibatan yang lebih besar bagi Sabah dalam perniagaan petroleum huluan serta dalam perniagaan minyak dan gas secara pertengahan dan hiliran.
“Justeru, kedua-dua MoU yang dimeterai itu akan memberi manfaat untuk membantu membangunkan modal insan khususnya dalam industri minyak dan gas di negeri ini,” katanya.
-Deasoka