Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) seolah-olah lupa kegagalan mereka menunaikan harapan rakyat Sabah untuk menikmati keadaan ekonomi dan pembangunan yang lebih baik sepanjang kira-kira dua tahun memerintah sebelum ini.
Ketua Penerangan UMNO Sepanggar, Ibrahim Dzul Aklamat, berkata kegagalan itulah yang menyebabkan rakyat Sabah menolak WARISAN dan rakan sekutunya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), pada September 2020.
Beliau berkata, WARISAN juga seolah-olah menafikan kegagalan mereka membawa pembaharuan dan mengatasi pelbagai isu rakyat di kawasan Parlimen Sepanggar yang diwakili Ketua Wira parti berkenaan, Datuk Mohd Azis Jamman.
Katanya, tindakan pemimpin parti itu yang menyalahkan ketidakstabilan politik ketika ini sebagai berpunca daripada pemimpin UMNO juga menunjukkan penafian terhadap punca sebenar yang bermula daripada pemimpin mereka sendiri.
“Contohnya Langkah Sheraton (pada awal 2020), dalangnya ialah Azmin Ali (Datuk Seri Mohd Azmin Ali) dan yang menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) adalah Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad).
“Pada masa itu UMNO memohon kepada YDPA (Yang di-Pertuan Agong) agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tetapi UMNO berjiwa besar mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Kelapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan pemangku Ketua Wira WARISAN Sepanggar, Julius Jay Junior yang menuduh Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan memainkan Sindrom Penafian apabila mengatakan Parlimen Sepanggar memerlukan kerajaan dan politik yang stabil.
Ibrahim Dzul berkata, ketika pemerintahan PH, rakyat berada dalam keadaan yang sukar dari segi pekerjaan berikutan ramai penjawat awam kontrak dan pekerja swasta hilang pekerjaan.
“Ketika WARISAN memerintah Sabah, ekonomi negeri ini teruk sehinggakan Sabah yang dahulunya mempunyai pertumbuhan ekonomi yang besar hingga 8.2 peratus setahun jatuh merudum sehingga 1.5 peratus pada zaman WARISAN dan banyak lagi.
“Jadi, Sindrom Penafian apakah yang disebutkan oleh Wira WARISAN ini? Seharusnya mereka malu kerana tiada satu pembangunan pun yang mereka bawa ke Sepanggar,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri dan persekutuan yang ada ketika ini turut memberikan dana menerusi belanjawan masing-masing kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen pembangkang untuk mereka membantu rakyat.
Namun, katanya pembangkang hanya pandai menyalahkan kerajaan termasuk berkaitan masalah bekalan air dan elektrik tanpa mengambil tahu atau memahami isu sebenar yang dihadapi dalam mengatasi masalah berkenaan.
Lebih menyedihkan, beliau berkata WARISAN seolah-olah lupa bahawa pemimpin mereka pernah bertanggungjawab dalam usaha menyelesaikan isu terbabit ketika berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Ini pemangku Wira WARISAN Sepanggar lupa atau buat-buat lupa bahawa yang bertanggungjawab terhadap masalah air dan letrik bertahun-tahun di Sepanggar adalah bekas Ketua Menteri dari WARISAN yang dahulunya Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),” katanya.
Mengenai kelantangan Aziz menyuarakan kepentingan rakyat Sepanggar, Ibrahim Dzul berkata beliau mengakui Aziz bersuara, namun ia hanya berlaku selepas menjadi pembangkang.
“Selama 22 bulan menjadi Timbalan Menteri persekutuan dia senyap ibarat lembu dicucuk hidung dan 27 bulan WARISAN menjadi pentadbir Sabah apa yang Sepanggar dapat? Pembangunan infra yang kita nampak di kawasan Sepanggar sekarang ini adalah hasil usaha drpd kerajaan BN dahulu.
“Tiada apapun pembangunan yang dibawa ke Sepanggar. PRN-16 sudah menunjukkan penolakan rakyat terhadap WARISAN di Sepanggar mahupun di peringkat negeri,” katanya.
-Deasoka