KPM lakukan intervensi baiki kemahiran 3M murid di Sabah

Papar: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melakukan intervensi yang perlu untuk memperbaiki kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin bagaimanapun berkata, KPM akan menyemak terlebih dahulu data mengenai murid di Sabah yang dikatakan antara tertinggi gagal menguasai kemahiran 3M.

Mohamad menyampaikan sumbangan kepada penduduk sempena majlis berbuka puasa di Masjid Imam Abdullah, Kampung Brunei Kimanis, Papar.

“Menulis, membaca dan mengira ini antara kurikulum yang telah disediakan oleh KPM secara komprehensif dan ini adalah fokus utama kita daripada prasekolah dan sekolah rendah untuk kita pastikan sekurang-kurangnya mereka dapat menguasai 3M ini.

“Tetapi kalau ada data sedemikian kita kena semak, kita juga ingin membuat sebarang intervensi yang perlu ke arah mana untuk kita perbaiki dengan pendekatan atau kurikulum yang sedia ada,” katanya ketika ditemui media pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) peringkat Parlimen Kimanis, di Masjid Imam Abdullah, Kampung Brunei Kimanis, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Focal Person Kebangsaan KPM, Mohammad Arif Sakaran baru-baru ini yang menyatakan Sabah antara negeri tertinggi murid gagal menguasai 3M.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis tidak menafikan ada murid di kawasan luar bandar masih ketinggalan menyebabkan mereka gagal menguasai kemahiran 3M.

“Saya tidak nafikan ada kawasan-kawasan luar bandar mereka masih ketinggalan tetapi kita mungkin ubah suai sedikit pendekatan kita, kaedah kita dengan kurikulum yang sedia ada bagi memastikan anak-anak kita yang ada di luar bandar khususnya tidak terlepas dan keciciran dari segi 3M ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru peranan ibu bapa untuk bersama-sama melihat pentingnya pendidikan walaupun berada di luar bandar.

“Di luar bandar terutamanya mereka ini mungkin ada sedikit tertinggal dari segi budaya bagaimanapun, saya sebagai wakil KPM ingin mengingatkan kepada semua terutama ibu bapa untuk melihat bahawa pendidikan cukup penting untuk anak-anak.

“Jadi hantarlah ke sekolah dan berilah mereka perhatian yang lebih sedikit supaya mereka dapat menjadi warga yang mempunyai asas pendidikan yang baik, untuk lebih maju ke hadapan pada masa akan datang,” katanya.

Berdasarkan laporan akhbar pada 11 April lalu, Sabah dikenal pasti antara negeri tertinggi mengalami masalah murid gagal menguasai kemahiran 3M terutama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|