Papar: Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada mengekalkan beliau atau sebaliknya sebagai calon kerusi Parlimen Kimanis yang disandangnya ketika ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Menteri Pendidikan II itu berkata, terpulang kepada parti untuk membuat keputusan mengenai perkara itu dan menyifatkan beliau tiada hak untuk bersuara berhubung kedudukan dirinya.
“Saya tiada hak untuk bercakap, kita hanya tunggu dan lihat, kita tunggu keputusan parti.
“Sudah tentu (keputusan pucuk pimpinan), jadi kita lihat apa juga keputusan parti nanti, biar parti putuskan dan biar rakyat buat keputusan,” katanya kepada media ketika ditanya sama ada akan mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis pada PRU-15.
Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) peringkat Parlimen Kimanis, di Masjid Imam Abdullah, Kampung Brunei Kimanis, di sini, semalam.
Mohamad menduduki kerusi Parlimen Kimanis selepas memenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020 dengan mendapat sebanyak 12,706 undi menewaskan calon Parti Warisan (WARISAN), Datuk Karim Bujang yang mendapat 10,677 undi.
Sementara itu, ditanya berhubung jangkaan UMNO Sabah mengenai PRU-15 akan diadakan tahun ini, beliau berkata, pihaknya menerima sebarang keputusan peringkat tertinggi parti berhubung pembubaran Parlimen jika dilaksanakan tahun ini.
“Kalau parti putuskan itu jadi kita tiada pilihan, kita kena terima. Kalau melihat kepada jangka hayat memorandum persefahaman (MoU) itu akan tamat pada Julai.
“Jadi kalau ada perbincangan untuk membubarkan Parlimen di antara Perdana Menteri, Kabinet kerajaan dan juga pucuk pimpinan parti terutama daripada UMNO, mungkin mereka dapat satu konsensus, kita akan bubar pada tahun ini.
“Kemudian kita terima pada tahun ini, kalau tidak pun satu masa yang mungkin akan dikompromikan oleh semua pihak mengenai pembubaran ini,” katanya.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum ini menjangkakan PRU-15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini selepas tamatnya MoU dengan Pakatan Harapan (PH) pada Julai depan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, jentera di peringkat akar umbi sentiasa bersedia dan bekerja keras untuk menghadapi sebarang pilihan raya.
“Sejak kita kalah tempoh hari pada PRU-14, kita sudah mula bekerja kuat, kemudian menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), waktu itu kita kerja lebih kuat kemudian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kita kerja lebih kuat lagi dan hari ini kita akan terus bekerja tanpa henti.
“Kita akan terus buat kerja kita di semua peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), malah kita telah menggerakkan pun jentera pilihan raya kita di semua peringkat, InsyaAllah kita cukup yakin pada kali ini rakyat akan dapat buat penilaian yang tepat pada kali ini,” katanya.
-Deasoka