WARISAN juga perlu perubahan kepemimpinan – Razeef Rakimin

WARISAN juga perlu perubahan kepemimpinan – Razeef Rakimin

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) disaran supaya melakukan perubahan kepemimpinan bagi mengelakkan parti itu terus berdepan kekalahan pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah, Razeef Rakimin, berkata WARISAN sepatutnya memikirkan perkara itu berbanding mengkritik kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.

“Saya berpandangan sudah tiba masanya WARISAN melakukan perubahan kepemimpinan jika tidak ingin kehilangan wang pertaruhan lagi pada pilihan raya akan datang.

“Terdapat beberapa pimpinan WARISAN dilihat mampu membawa perubahan lebih baik kepada parti itu, antaranya Datuk Darell Leiking dan Datuk Mohd Azis Jamman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau membidas kritikan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatakan PH perlu melakukan perubahan kepemimpinan berikutan kekalahan teruk pada PRN Johor.

Razeef berkata, walaupun menjadi hak sesiapa saja untuk menegur dan mengkritik parti politik, namun adalah lebih baik Mohd Shafie memberi tumpuan kepada parti beliau sendiri terlebih dahulu.

“Di Sabah, parti beliau telah ditolak rakyat apabila tewas pada PRN Sabah pada 2020. Tidak cukup dengan itu, beberapa wakil rakyat serta pimpinan WARISAN juga bertindak meninggalkan parti selepas melihat Shafie mula melupakan perjuangan hak Sabah dan fokus di Semenanjung bagi mengejar cita-cita sebagai Perdana Menteri.

“Melihat kepada keadaan WARISAN yang dilihat semakin karam, keghairahan Shafie juga memakan diri apabila WARISAN yang gelojoh memasuki Semenanjung dan bertanding pada PRN Johor bukan sahaja tewas di kesemua kerusi yang ditandinginya, malah semua calonnya hilang wang pertaruhan,” katanya.

Katanya, beberapa bekas pemimpin WARISAN yang meninggalkan parti itu juga berpandangan Mohd Shafie kurang bijak apabila mengkritik Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara PH dan kerajaan.

Jelasnya, kenyataan Mohd Shafie bahawa perjanjian berkenaan melemahkan PH sangat dangkal sedangkan pimpinan PH masih lantang menegur, mengkritik dan melawan kerajaan di Parlimen dalam beberapa isu.

“Selain itu, melalui MoU berkenaan beberapa perkara juga berjaya dilaksana termasuk pengembalian status Sabah dan Sarawak yang membuka ruang kepada pelaksanaan perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sekali lagi saya memberikan pandangan bahawa sudah tiba masanya WARISAN mengubah kepemimpinan agar diterima rakyat selepas kegagalan mentadbir Sabah sepanjang dua tahun memerintah. Ini adalah penting bagi ‘survival’ parti itu selepas cubaan memasuki Semenanjung menemui kegagalan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|