Kota Kinabalu: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) beriltizam untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan kestabilan ekonomi serta sosioekonomi rakyat Sabah dapat ditingkatkan sebagai langkah ke hadapan untuk membawa perubahan.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata bagi mencapai momentum pertumbuhan ekonomi mapan, kerajaan negeri akan memperhebat usaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek berimpak tinggi.
Beliau berkata, usaha juga diteruskan untuk menarik lebih banyak pelaburan merentasi semua sektor bagi merangsang pembangunan dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
“Saya berkeyakinan tinggi bahawa penyertaan negeri Sabah di Ekspo 2020 Dubai dan penganjuran Sabah International Business and Economic Summit (SIBES) 2022 baru-baru ini akan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan merancakkan aktiviti perniagaan yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan tinggi ekonomi negeri pada masa hadapan.
“Sekali lagi, syabas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama barisan pimpinan kerajaan GRS yang dalam masa setahun ini telah banyak memperkenalkan dan menggubal dasar-dasar bagi memulihkan semula ekonomi negeri meskipun kita masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.
“Segala dasar yang diperkenalkan itu diyakini akan menempatkan semula kedudukan Sabah di landasan yang tepat ke arah kemajuan dan pembangunan yang holistik serta inklusif,” katanya dalam ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, di sini, hari ini.
Juhar berkata, memerangi pandemik dan memulihkan semula ekonomi adalah agenda utama bagi kerajaan negeri ketika ini.
Jelasnya, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri menjadi teras pentadbiran kerajaan GRS, sesuai dengan kehendak dan keperluan masa kini.
“Saya percaya, pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi memastikan kelangsungan kemajuan dan pembangunan seperti yang disasarkan.
“Akhir kata, saya ingin menggesa seluruh lapisan masyarakat untuk terus bersatu padu dan saling bekerjasama untuk kemajuan dan kecemerlangan negeri Sabah yang tercinta.
“Marilah kita berdoa moga negeri kita akan terus maju, aman, makmur dan sejahtera. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan melimpahkan kurnia serta rahmat-Nya kepada kita semua,” katanya.
-Deasoka