Lelaki sogok anggota PGA RM100, enam tin minuman ringan ditahan

Lelaki sogok anggota PGA RM100, enam tin minuman ringan ditahan

Kalabakan: Tindakan seorang lelaki cuba memberi sogokan RM100 dan enam tin minuman ringan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mengelak rakannya ditahan kerana pasport tamat tempoh menerima padah apabila dia diberkas di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Kalabakan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, suspek berusia 64 tahun yang memandu kenderaan Toyota Land Cruiser bersama seorang lelaki berusia 61 tahun dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Keningau.

Wang tunai berjumlah RM100 dan enam tin minuman ringan dirampas.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, ketika ditahan oleh petugas terdiri daripada anggota PGA dan RELA untuk pemeriksaan, pemandu memberikan plastik berisi enam tin minuman ringan pelbagai jenis dan wang tunai berjumlah RM100.

Katanya, petugas di RCP kemudian memberi amaran kepada suspek lebih daripada tiga kali tetapi suspek tetap menawarkan wang berkenaan kepada petugas.

Kenderaan Toyota Land Cruiser dinaiki suspek dirampas.

“Susulan itu, suspek dan seorang penumpang ditahan dan barangan termasuk wang tunai dan kenderaan dirampas.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, pasport milik penumpang kenderaan itu sudah tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM150,100.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|