WARISAN hilang pengaruh disebabkan tindakan presidennya, dakwa Zulkarnain

WARISAN hilang pengaruh disebabkan tindakan presidennya, dakwa Zulkarnain

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) kini semakin hilang pengaruh di Sabah berpunca daripada tindakan beliau terhadap Tan Sri Musa Aman sebelum ini, dakwa Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar.

Katanya, sebagai seorang penganut agama Islam harus percaya dan menyedari doa mereka yang dizalimi itu sangat makbul.

“Ini juga dilihat sebagai proses hukum karma ke atas perbuatan Shafie Apdal sendiri.

“Harus diingat pada Mei tahun 2018 Shafie adalah pelopor kepada wakil rakyat melompat parti dan kerajaan pintu belakang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dakwanya lagi, Mohd Shafie telah berkomplot dengan pihak Istana untuk mempengaruhi secara salah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)-ADUN Barisan Nasional (BN) untuk ‘melompat’ ke parti WARISAN sehingga menyebabkan kerajaan BN tumbang pada waktu itu.

“Sebaliknya pada tahun 2020 apabila wakil-wakil rakyat daripada parti WARISAN melompat keluar bagi menyokong Tan Sri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah, Shafie pula terus serta merta membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Ketika ini rakyat Sabah sendiri menjadi saksi WARISAN di Sabah hampir lumpuh sepenuhnya selepas sebilangan besar wakil rakyat termasuk ketua-ketua bahagian parti itu keluar parti sehingga menyebabkan WARISAN terpaksa menunda persidang agung tahunan parti.

“Tindakan terdesak menawarkan kerjasama kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) juga dilihat sebagai petanda betapa terdesaknya Shafie ketika ini,” katanya.

Sehubungan itu, Zulkarnain menasihatkan sekiranya Mohd Shafie ingin memulihkan semula parti WARISAN tindakan segera yang perlu dilakukan adalah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Tan Sri Musa Aman.

“Saya mengenali Tan Sri Musa Aman sebagai seorang pemimpin yang sangat berjiwa besar dan berkeyakinan akan memaafkan Shafie,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|