PPM usir PATI, ceroboh perairan negara

Semporna: Empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak warga asing yang cuba menyelinap masuk ke daerah ini menerusi Laut Mantabuan, di sini, berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum diusir keluar.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, kehadiran bot berkenaan disedari pasukan PPM yang sedang menjalankan operasi pencegahan penularan Wabak Covid-19 di sekitar perairan daerah ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik dikesan, pasukan operasi terus mengejar sebelum menahan sebuah perahu tanpa nombor pendaftaran itu untuk pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua 10 individu terbabit tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah.

“Semua suspek didapati memasuki perairan negara ini secara salah tanpa memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua suspek terus diusir dengan diiringi keluar daripada sempadan perairan negara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi sama, Mohamad berkata, pasukan operasi berjaya menahan sebuah lagi perahu tanpa nombor pendaftaran di kawasan Laut Pom-Pom, di sini, kira-kira sejam selepas itu.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki tiga orang lelaki, tiga perempuan dan dua kanak-kanak warga Filipina.

“Setelah pemeriksaan dijalankan,mereka mengaku tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah dan memasuki perairan Malaysia secara salah.

“Pasukan operasi sekali lagi menjalankan operasi pengusiran dengan mengiringi bot berkenaan sehingga keluar dari perairan negara.

“Mereka turut diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|