Tiada ahli WARISAN ikut Rina – Sarifuddin

Tawau: Tiada ahli Parti Warisan (WARISAN) yang mengikut langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal keluar daripada parti berkenaan.

Ketua Bahagian WARISAN Kalabakan, Sarifuddin Hata, berkata kedudukan WARISAN bahagian berkenaan kekal teguh dan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, tiada Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan Sayap-Sayap WARISAN Kalabakan yang mengikuti Rina, termasuk sayap Wirawati yang diketuainya sebelum ini.

“Malah kawan rapat dia yang hari-hari di pejabat pun tidak ikut beliau keluar kerana mereka tahu jerih payah perjuangan dalam WARISAN,” katanya pada sidang media, di sini.

Beliau yang juga ADUN Merotai berkata terdapat dua ahli yang menyertai Rina namun dipercayai masih ragu dengan tindakan yang dilakukan itu.

“Ada dua orang yang ikut dia ke sana tetapi kalau mereka mahu ke sini semula kita terbuka menerima kecuali Rina kita tak akan terima,” katanya.

Sarifuddin berkata, karier politik Rina akan berakhir berikutan tindakannya keluar daripada parti yang besar dan kukuh dengan menyertai parti yang kecil.

“Dia belayar dengan kapal besar lompat ke kapal kecil, saya pun hairan, saya tidak boleh fikir, kalau dia lompat ke parti yang besar seperti Barisan Nasional, Bersatu saya boleh fikir lagi tapi yang ini saya pun terkejut,” katanya.

Beliau juga menafikan khabar angin mengenai masalah dalaman di peringkat bahagian itu sehingga mendorong Rina mengambil tindakan keluar parti.

Sebaliknya, beliau berkata Rina yang ada masalah tetapi tidak diketahui apa masalah dihadapinya.

Katanya, alasan Rina keluar parti untuk kepentingan rakyat juga adalah alasan yang dangkal.

“Walaupun kita pembangkang, kita boleh buat kerja untuk rakyat, itu dari pemikiran kita yang kata tak boleh, kita yang selalu fikir tak ada peruntukan, yang selalu fikir kita tak ada duit lebih untuk diri sendiri.

“Sedangkan semua perkara boleh dibawa berbincang, itu semua dari kebijakkan kita sebagai pemimpin untuk menguruskannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|