Sandakan: Satu kerjasama bagi meningkatkan bidang pertanian di Sabah dilaksanakan menerusi majlis menandatangani surat niat (LoI) antara Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Pengusaha Durian dan Buah-buahan Tropika Sabah (MaSDa).
Menurut Dekan FPL, Prof Madya Dr Azwan Awang, kerjasama itu dijangka dapat membawa manfaat kepada pelajar FPL melalui aktiviti kerja lapangan dan latihan industri di ladang-ladang ahli MaSDa.
“FPL bermatlamat untuk melatih modal insan bagi membantu menaikkan bidang pertanian negara berdasarkan tiga prinsip utama iaitu kelestarian, kepekaan dan teknologi tinggi.
“Selari dengan matlamat itu maka kerjasama dengan pihak industri seperti MaSDa dijalinkan demi memajukan lagi industri pertanian di negeri Sabah, khasnya,” katanya pada majlis itu baru-baru ini.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat hasil daripada projek penyelidikan yang akan dijalankan secara bersama.
Tambah Dr Azwan lagi, FPL bercita-cita untuk cemerlang dalam bidang pertanian melalui aktiviti penyelidikan inovasi dan perkembangan pertanian serta menyebar luas ilmu terkini dalam pertanian.
“Untuk fasa awal, kerjasama akan menumpukan kepada kajian agronomi dan pascatuai avocado,” katanya.
MaSDa adalah sebuah persatuan pengusaha buah-buahan yang berdaftar di Kota Kinabalu dan ahlinya terdiri daripada pengusaha ladang buah-buahan di beberapa daerah di negeri Sabah.
Ladang MaSDa diusahakan secara komersil dan pemasaran buah-buahan memasuki pasaran luar negeri Sabah.
Pada majlis menandatangani LoI tersebut, FPL diwakili oleh Dr. Azwan Awang, manakala MaSDa diwakili oleh Pengerusi, Duane Evans.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Program Hortikultur dan Landskap, Dr Salumiah Mijin; Wakil Persatuan Bahagian Pantai Timur/Syarikat Baja Harapan, Steve Lee dan Ketua Pentadbiran FPL, Dr Roslan Gimba.
-Deasoka