WARISAN bertekad rampas balik Lahad Datu

Lahad Datu: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau akan memastikan kerusi Parlimen Lahad Datu akan menjadi milik parti itu semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yakin WARISAN Lahad Datu kekal stabil dan jentera parti itu sentiasa diperkuatkan untuk menghadapi PRU akan datang bagi mengembalikan kerusi Parlimen Lahad Datu ke pangkuan WARISAN.

Mohd Shafie ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Iftar Ramadan bersama Masyarakat Lahad Datu di Masjid Ar Raudhah, Lahad Datu.

“Kita nak pastikan Lahad Datu kita akan ambil alih balik, saya yakin ini merupakan satu jalan walaupun mungkin bukan mudah.

“Tetapi saya yakin bila kita lihat kerangka yang sedia ada, kita siap siaga untuk memastikan perkuatkan jentera WARISAN yang ada,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Iftar Ramadan bersama Masyarakat Lahad Datu di Masjid Ar Raudhah, di sini, semalam.

Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Iftar Ramadan bersama Masyarakat Lahad Datu di Masjid Ar Raudhah, Lahad Datu.

Ditanya mengenai pemilihan calon bagi Parlimen Lahad Datu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, perkara itu akan diteliti bagi memastikan calon yang dipilih mempunyai nilai kepimpinan.

“Kita kena teliti secara mendalam kalau calon-calon itu bukan hanya setakat kita nak menang tetapi kena ada nilai-nilai yang ada kepimpinan.

“Kita tidak mahu dia boleh menang tetapi melompat. Kita tidak mahu dia menang, tidak melompat tetapi tidak berkhidmat. Kita mahu wakil rakyat supaya yang beramal, yang membantu rakyat, banyakkan bantuan rakyat, (tetapi) jangan banyak (kejar) kita punya pangkat dan projek ini,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket WARISAN pada PRU 2018, mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, pada November lalu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama disahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|