Macau scam menyamar kakitangan Pos Malaysia, wanita rugi RM18,570

Beaufort: Seorang wanita kerugian RM18,570 selepas terpedaya dengan penipuan macau scam yang menggunakan penyamaran sebagai kakitangan Pos Malaysia.

Kejadian dilaporkan bermula sejak 19 Mac lalu, namun hanya disedari mangsa berusia 37 tahun terbabit yang kemudiannya membuat laporan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang bekerja sendiri mendakwa menerima panggilan telefon daripada beberapa nombor yang tidak dikenali mendakwa kononnya kakitangan Pos Malaysia.

Katanya, sindiket penipuan berkenaan mendakwa ada kiriman bungkusan atas nama mangsa yang mencurigakan mengandungi kad pengenalan dan kad bank untuk dihantar ke Sarawak.

“Panggilan berkenaan kemudian kononnya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak untuk pengesahan.

“Mangsa mendakwa bercakap dengan seorang anggota polis yang berpangkat sarjan dan hasil semakan terhadap kad pengenalan, mangsa didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, sindiket berkenaan kemudiannya mengarahkan pengadu supaya merahsiakan kes berkenaan namun mangsa perlu memberi wang jaminan sebanyak RM10,000.

Katanya, sindiket penipuan berkenaan mendakwa ia bagi tujuan supaya mangsa tidak ditangkap atas kesalahan berkenaan.

“Mangsa yang panik dan ketakutan kemudiannya menghantar maklumat bank termasuk kata laluan dan TAC kepada individu yang membuat panggilan berkenaan.

“Bagi memberi keyakinan kepada mangsa, sindiket penipuan berkenaan turut menjanjikan wang akan dikembalikan semula selepas selesai siasatan,” katanya.

Sementara itu, Yusoff Zaki berkata, semua wang mangsa dipindahkan secara berperingkat bermula 19 hingga 26 Mac lalu ke dalam akaun suspek.

Namun katanya, mangsa hanya mula menyedari penipuan berkenaan apabila sering diminta untuk membuat pembayaran.

“Menyedari ditipu, mangsa kemudian tampil buat laporan polis semalam dan siasatan masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|