Warga emas nyaris maut, kereta bertembung

Warga emas nyaris maut, kereta bertembung

Beaufort: Seorang wanita warga emas nyaris maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lagi Toyota Yaris, dalam kejadian di Jalan Kampung Takuli, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 72 tahun tersepit di dalam kenderaan Perodua Kancil dan terpaksa diselamatkan pasukan bomba.

Pasukan bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa dari Perodua Kancil menggunakan peralatan khas. Pix ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.09 tengah hari.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Lelaki berusia 27 tahun yang memandu Toyota Yaris terselamat tanpa sebarang kecederaan. Pix ihsan Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat seorang mangsa warga emas tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba.

“Mangsa yang mengalami cedera parah terus dibawa ke Hospital Beaufort menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi mangsa lelaki berusia 27 tahun yang memandu Toyota Yaris tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.04 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|