Warga emas maut terjatuh longkang di Pekan Donggongon

Warga emas maut terjatuh longkang di Pekan Donggongon

Penampang: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Pekan Donggongon, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 66 tahun terbabit yang dikatakan mempunyai masalah kesihatan ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima maklumat, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di bahagian belakang kepala.

“Pasukan perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Siasatan juga mendapati, mangsa mempunyai masalah kesihatan dan tiada sebarang kesan kecederaan lain atau unsur jenayah ditemui,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar mangsa di lokasi kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|