Usaha naik taraf infrastruktur Pulau Sepanggar akan dilaksanakan

Usaha naik taraf infrastruktur Pulau Sepanggar akan dilaksanakan

Sepanggar: Kerajaan negeri akan menjalankan usaha untuk membaik pulih serta menambah infrastruktur di Pulau Sepanggar, di sini, bagi kegunaan penduduk setempat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan berkata, ia termasuklah kerja-kerja membaik pulih titian dan dewan serba guna yang terdapat di kampung itu.

Yakub bersama-sama warga Kampung Pulau Sepanggar.

“Semoga dengan adanya penambahbaikan ini, ianya akan dapat memudahkan lagi urusan seharian penduduk di pulau ini.

“Kita juga akan mengusahakan untuk membawa elektrik berkuasa solar, selain membantu penduduk di kampung ini mendapatkan sumber air bersih melelaui sistem air bawah tanah.

“Selain itu, Pantaran Ilmu yang sedia ada akan digantikan kepada konkrit bagi memudahkan aktiviti sekolah dan penduduk setempat,” katanya ketika merasmikan Program Hari Keluarga Malaysia, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sepanggar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Yakub berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin.

Pada masa yang sama, katanya, hubungan akrab yang terjalin di antara guru-guru, ibu bapa akan memudahkan pelaksanaan program pembangunan pelajar seperti yang telah dirancang dalam takwim tahunan.

“Semangat kekeluargaan bukan sahaja perlu diterapkan di rumah tetapi juga di sekolah.

“Dengan adanya semangat kekeluargaan, kekitaan dan keakraban di kalangan warga sekolah, secara tidak langsung ianya dapat melahirkan sikap prihatin, saling hormat-menghormati, bertolak ansur, amanah serta telus di dalam menjalankan tugas seharian,” katanya lagi.

Tambah Yakub, program seumpama itu akan dimasukkan ke dalam kalendar Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dan dianjurkan pada setiap tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|