10 pelajar terbaik STPM terima biasiswa cemerlang kerajaan negeri

10 pelajar terbaik STPM terima biasiswa cemerlang kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Seramai 10 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 terpilih menerima Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) yang baru diperkenalkan pada tahun ini.

Tawaran kepada semua pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada perjumpaan dengan pelajar terbabit di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji bersama pelajar terbaik STPM yang menerima biasiswa cemerlang kerajaan negeri di Menara Kinabalu.

Selain biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, setiap pelajar turut menerima sumbangan RM3,000 daripada Ketua Menteri.

Hajiji turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar terbabit untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang pengajian yang dipilih mereka apabila melanjutkan pelajaran.

“Saya berharap mereka dapat meneruskan kecemerlangan akademik dan membantu dalam pembangunan negeri setelah selesai pengajian nanti,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai; Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Zainudin Aman dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Norlijah Danin mengiringi 10 pelajar terbabit.

Mereka ialah Azza Nazeerah Norsidi (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maktab Sabah, Kota Kinabalu), Fredelina Franklin Frankey (SMK St Peter, Telipok), Mary Cassandra Christinus (SMK Limbanak, Penampang), Mohd Haqim Roslan (SMK Tamparuli) dan Feiron Umpil @ Felix (SMK Tambunan).

Selebihnya ialah Ummu Zafirah Kaderi (SMK Usukan, Kota Belud), Krestyelah Ubid (SMK Ranau), Farrah Nurainn Fatman (SMK Kota Marudu), Norshafika Mohd Jul (SMK Abdul Rahim, Kudat) dan Chan Khor Yee (Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam (A) Sandakan).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|