‘Hanya satu kes culik kanak-kanak’ – Acyrl Sani

‘Hanya satu kes culik kanak-kanak’ – Acyrl Sani

Batu Uban: Polis mengesahkan kejadian culik kanak-kanak dan aktiviti penjualan organ manusia yang kerap dilaporkan di media sosial ketika ini didapati tidak benar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis tidak pasti tujuan pihak tertentu yang sengaja mereka cerita perkara itu sehingga menimbulkan kegusaran awam.

“Apabila disiasat kes berkaitan penculikan kanak-kanak, kita hanya memfokuskan isu berkaitan (penculikan).

“Setakat ini, hanya satu kejadian culik disahkan berlaku di Genting Highlands (Pahang) dan suspek sudah dituduh di mahkamah serta kes berkenaan masih dalam perbicaraan,” katanya ketika Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, biar mahkamah tentukan kesahihan dan motif di sebalik kejadian penculikan itu.

“Selain daripada itu, semua kes-kes lain yang dilaporkan didapati tiada asas dan hanya diberitakan untuk tujuan tertentu oleh pihak yang menyebarkan perkara berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Acyrl Sani turut menggalakkan orang ramai terutama ibu bapa menjaga keselamatan anak masing-masing.

“Kesedaran terhadap keselamatan anak dalam kalangan ibu bapa dilihat semakin meningkat, namun jangan sampai menyebarkan berita tidak benar sehingga menggusarkan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Deasoka.com sebelum ini melaporkan polis menafikan sebarang cubaan culik membabitkan kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid seperti ditular menerusi satu rakaman suara dalam aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya ada mengesan rakaman suara itu, namun setakat ini tidak ada menerima sebarang laporan berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, semakan sudah dilakukan dengan pihak sekolah terbabit dan mendapati perkara itu tidak berlaku.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum berkongsi berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|