Ahli Parlimen Sabah, Sarawak sokong pembentukan Kaukus Borneo

Ahli Parlimen Sabah, Sarawak sokong pembentukan Kaukus Borneo

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menerima baik idea untuk membentuk Kaukus Borneo bagi kerjasama politik selain mewujudkan satu suara untuk menyokong serta mengukuhkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perdana Menteri semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perkara itu adalah antara isu yang dibangkitkan pada sesi taklimat khas Ahli Parlimen Borneo sempena persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Borneo menghadiri taklimat khas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Katanya, perjumpaan itu turut membincangkan perkara yang berkaitan dengan cadangan untuk mengembalikan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak.

“Ahli Parlimen Borneo menyokong penuh idea yang mana kita seharusnya memiliki satu suara yang sama untuk melindungi dan melaksanakan rukun serta asas MA63 selain menyatakan siapa yang harus menjadi Perdana Menteri seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maximus berkata Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak turut menyentuh mengenai kemungkinan untuk menginstitusikan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sebagai rangka kerja tetap dalam melaksanakan kerja yang berkaitan.

Katanya, turut disentuh ialah pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membuat susulan cadangan Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang sudah dipersetujui sepenuhnya oleh Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita berpuas hati dengan reaksi dan maklum balas yang diterima daripada semua Ahli Parlimen sama ada dari blok kerajaan atau pembangkang.

“Langkah seterusnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan hubungan kerja berpotensi secara rasmi dalam kalangan parti politik di kedua-dua negeri Borneo.

“Isu yang dibangkitkan berkait dengan kepentingan awam dan dekat dengan hati kita. Ini adalah permulaan dan satu sejarah dalam pembikinan. Ahli Parlimen Borneo mahu membuat kelainan dalam hala tuju dan fokus dalam politik nasional Malaysia,” katanya.

Taklimat itu, katanya turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi memberi penerangan mengenai perspektif perundangan berkaitan cadangan untuk meningkatkan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, selain beberapa isu lain yang berkaitan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|