Kawanan gajah di Jalan Sapulut-Kalabakan: Orang ramai dinasihat berhati-hati, elak provokasi

Kawanan gajah di Jalan Sapulut-Kalabakan: Orang ramai dinasihat berhati-hati, elak provokasi

Kalabakan: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) menyifatkan kehadiran gajah liar di Jalan Sapulut-Kalabakan, khususnya di Tibaw, Kalabakan sebagai perkara biasa, namun pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak melakukan provokasi.

Pegawai JHLS Tawau, Primus Lambut, berkata ia berikutan kawasan berkenaan yang dikelilingi hutan adalah habitat mamalia terbabit.

Primus Lambut

“Kami ada menerima maklumat dan difahamkan ada kehadiran gajah di kawasan Jalan Kalabakan Tibaw dan itu memang laluan keluar masuk hidupan liar berkenaan kerana kiri kanannya kawasan hutan.

“Kebiasaannya dalam satu kawanan gajah boleh mencapai 20 hingga 30 ekor dan kadang boleh mencapai 30 hingga 40 ekor,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video kehadiran sekumpulan gajah di laluan terbabit yang tular di media sosial, hari ini.

Video terbabit dirakam pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan pada kira-kira jam 2.35 petang tadi yang memaparkan sekumpulan gajah berada di jalan raya selain di tepi jalan hingga menghalang lalu lintas.

Pengguna jalan raya juga bimbang dengan kehadiran gajah terbabit, namun haiwan itu dilihat tidak bertindak agresif.

Sementara itu, Primus berkata, bagi keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu, mereka diminta supaya berhati-hati dan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengundang kemarahan gajah.

“Kalau dia tidak mengganggu jalan, boleh teruskan perjalanan tapi kena berhati-hati, cuma kalau dia tengah melintas jalan bersama anaknya, jangan cuba keluar daripada kenderaan sebab pada masa itu gajah itu tengah agresif.

“Jangan lakukan provokasi dan keluar dari kenderaan serta jangan ambil gambar kerana dia boleh terganggu dengan ‘flash’ dari kamera dan bila ada kelibat manusia dia akan merasa terancam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|