Warga emas ditemui rentung dalam kereta

Warga emas ditemui rentung dalam kereta

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung di dalam kereta miliknya dalam kejadian di Taman Iramanis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa berusia 63 tahun terbabit ditemui di dalam kereta Toyota Spacio miliknya yang terbakar hampir 95 peratus.

Mayat lelaki warga emas ditemui rentung dalam kereta di kawasan taman permainan Taman Iramanis, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, polis menerima panggilan berhubung sebuah kereta terbakar pada jam 9.10 pagi.

Katanya, sebaik api berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir di lokasi kejadian, pasukan operasi memaklumkan terdapat seorang lelaki berada di dalam kenderaan berkenaan.

Anggota polis dan bomba mengeluarkan mayat mangsa dari kenderaan untuk dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk proses bedah siasat.

“Siasatan awal daripada pasukan Forensik JBPM memaklumkan, api dipercayai berpunca daripada tempat duduk sebelah pemandu.

“Mangsa ditemui rentung di tempat duduk pemandu dan kenderaan juga terbakar hampir 95 peratus keseluruhan kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|