Borneo Safari International Off-Road Challenge kembali ke Sabah

Borneo Safari International Off-Road Challenge kembali ke Sabah

Kota Kinabalu: Selepas dua tahun, Borneo Safari International Off-Road Challenge kini kembali membawa bersama sebanyak 470 buah kenderaan ‘off-road’ yang telah diubah suai.

Borneo Safari edisi ke-30 ini akan melihat lebih 1,000 peserta merentasi Tuaran dan mengemudi rupa bumi Kota Belud menggunakan jalan pembalakan lama.

Joniston bersama peserta Borneo Safari International Off-Road Challenge di Kota Kinabalu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, respon positif, khususnya daripada negara-negara jiran menunjukkan bahawa aktiviti pengembaraan luar di Sabah semakin popular.

Menurutnya, terdapat penyertaan daripada peserta yang datang daei seluruh Malaysia, Filipina dan Brunei.

“Kita di STB melihat ini sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Kita berharap semua peserta akan mengambil kesempatan ini untuk meneroka keindahan Sabah dan berkongsi pengalaman mereka dengan dunia.

“Saya yakin melalui laporan dan publisiti semua pihak, ia akan membantu meningkatkan industri pelancongan negeri,” katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan program itu di Gaya Street, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman dan Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SWDA), Faez Nordin.

Dalam pada itu, sebagai program anjuran SWDA, Faez berkata para peserta dalam cabaran ‘off-road’ selama lapan hari itu akan mengharungi sembilan kampung pedalaman.

Mereka akan berinteraksi bersama penduduk pedalaman menerusi aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti kem perubatan antara lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|