Warga emas ditemui mati dipercayai akibat tergelincir

Warga emas ditemui mati dipercayai akibat tergelincir

Lahad Datu: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di tepi pantai belakang Pasar Rakyat, Jalan Pantai, di sini, semalam.

Mangsa Shamsul Nanring, 62, dipercayai maut selepas jatuh tergelincir di kawasan berbatu yang licin di lokasi kejadian sebelum ditemui orang awam pada jam 2.20 petang.

Pasukan polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukanpolis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan anggota polis Lahad Datu bergerak ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Katanya, sebaik tiba lokasi menemukan seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di atas batu di tepi pantai berkenaan dan tidak bernyawa.

Mayat Shamsul Nanring, 62, yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di tepi pantai belakang Pasar Rakyat, Lahad Datu.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemui beberapa dokumen penting mangsa dan mangsa tinggal di Kampung Batu 1, di sini.

“Hasil siasatan awal juga mendapati tiada sebarang unsur perlakuan jenayah di tempat kejadian dan tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh di kawasan berbatu yang licin di belakang pasar berkenaan.

“Bedah siasat telah dijalankan oleh Unit Forensik Hospital Lahad Datu dan dipercayai mati lemas.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan dan bedah siasat,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|