Budaya lakukan saringan kesihatan perlu dinormalisasikan – Shahelmey

Budaya lakukan saringan kesihatan perlu dinormalisasikan – Shahelmey

Kota Kinabalu: Budaya melakukan saringan kesihatan secara berkala perlu dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan negeri berkata, menerusi saringan kesihatan akan membolehkan pengesahan dan rawatan awal jika dikesan menghidapi sebarang penyakit.

Shahelmey melihat mesin x-ray ketika melawat bas saringan penyakit Tibi bergerak.

“Melalui saringan kesihatan yang dilakukan akan membolehkan kita mendapat pengesahan dan rawatan awal jika terdapat kondisi penyakit yang memerlukan rawatan mahupun intervensi awal bagi mengelak daripada ia terjadi atau menjadi semakin teruk.

“Ini sekali gus dapat mengurangkan kos rawatan dan pemulihan penyakit. Langkah ini juga dilihat akan meningkatkan taraf kesihatan dan kualiti kehidupan masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada majlis Karnival Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di bangunan Wisma Tun Fuad, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin; Pengerusi Yayasan Bumiputera Sabah, Senator Datuk John Ambrose; Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan JKNS, Jackson Taguah dan Ketua Penolong Pengarah Kanan JKNS, Dr Nirmal Kaur.

Bercakap mengenai program ANMS peringkat negeri yang dihadirinya, Shahelmey berkata, program komprehensif itu untuk menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang sentiasa menyokong gaya hidup sihat.

“Program kali ini menggunakan pendekatan baharu iaitu ‘Whole of Nation’ di mana ia akan melibatkan secara menyeluruh agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dalam menyampaikan pelbagai bentuk perkhidmatan yang berteraskan gaya hidup sihat.

“Mengikut data statistik sehingga 2 Ogos (semalam), Sabah telah menyaring seramai 2,341 orang dan merupakan ranking pertama dalam statistik pencapaian di seluruh Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Shahelmey percaya pendekatan secara holistik mengadakan program ini akan meningkatkan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan menjadi lebih komprehensif bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terjangkau oleh segenap lapisan masyarakat.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan negeri berlandaskan hala tuju Sabah Maju Jaya iaitu merakyatkan perkhidmatannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|