Hajiji pandang serius pemindahan anggota polis bermasalah ke Sabah, Sarawak

Hajiji pandang serius pemindahan anggota polis bermasalah ke Sabah, Sarawak

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memandang serius berhubung pemindahan sembilan anggota polis bermasalah ke Sabah dan Sarawak.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berhubung laporan berita sembilan anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.

Hajiji yang kini sedang menunaikan ibadah umrah berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada polis mengenai perkara berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sakikala Devi menerusi satu sesi wawancara khas Sinar Harian mendedahkan perkara itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|