Kota Kinabalu: Tindakan menjadikan Sabah sebagai tempat menghantar anggota polis bermasalah disifatkan sebagai tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata pihak polis perlu menghentikan tindakan itu kerana ia adalah salah dan tidak dapat diterima walaupun sebahagian daripada prosedur disiplin.
“Perkara ini perlu diperbetulkan segera. Sabah sudah berdepan pelbagai ancaman keselamatan seperti lanun, penculikan dan kehadiran anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf.
“Di sebalik semua masalah ini pula, pihak polis menganggap tindakan menempatkan anggota polis bermasalah untuk melindungi keselamatan kita sebagai sesuatu yang bagus.
“Ini sesuatu yang salah dan tidak dapat diterima meskipun ia adalah sebahagian daripada ptosedur disiplin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut mempersoalkan rasional tindakan membenarkan anggota polis meneruskan kerja walaupun mereka masih di bawah siasatan jenayah.
Katanya, bukan sesuatu yang rahsia bahawa Sabah sering menjadi pilihan sebagai destinasi untuk membuang penjenayah dari negeri lain di negara ini.
“Berhenti gunakan Sabah dan Sarawak sebagai tempat ‘membuang’ masalah dari Semenanjung,” katanya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor semalam menyatakan tindakan itu sepatutnya dimaklum dan dibincangkan terlebih dahulu dengannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum dilaksanakan.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dilaporkan berkata seramai sembilan anggota polis yang terbabit dalam peras ugut seorang ahli perniagaan di Selangor baru-baru ini ditukarkan ke Sabah dan Sarawak.
-Deasoka