Warga emas ditemui lemas

Warga emas ditemui lemas

Lahad Datu: Seorang lelaki warga emas yang dipercayai terjatuh ketika menyeberangi sungai di Kampung Dewata, di sini, ditemui lemas, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, mangsa berusia 80 tahun dikatakan terjatuh ketika menyeberangi sungai berkenaan untuk pergi ke kebun sawitnya.

Pasukan bomba membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) berhampiran lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.43 petang.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dihantar ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian menjalankan operasi SAR di sepanjang sungai sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Namun mangsa gagal ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 6.20 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR disambung jam 7 pagi hari ini oleh pasukan bomba dengan menaiki bot dari arah laut membuat pencarian di sepanjang sungai.

Manakala katanya, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan orang awam membuat pencarian di kawasan tebing sungai Kampung Dewata.

“Mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh, jam 9.30 pagi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada 12.30 tengah hari.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|