PRU15: Calon PH buat kejutan di Parlimen Sepanggar

PRU15: Calon PH buat kejutan di Parlimen Sepanggar

Kota Kinabalu: Calon Parti Harapan (PH) Mustapha Sakmud yang dianggap sebagai ‘underdog’ bagi kerusi Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berjaya membuat kejutan apabila dua nama besar, semalam.

Mustapha dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dengan jumlah undi sebanyak 27,022 dengan majoriti 7,042 undi.

Beliau berjaya menewaskan penyandang parlimen berkenaan yang juga Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman yang memperoleh 18,594 undi

Manakala, Mustapha turut menewaskan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan yang mendapat undi kedua tertinggi iaitu sebanyak 19,890 undi.

Dalam pertembungan lima penjuru itu, dua calon lain daripada parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Jumardie Lukman dan Yusof Kunchang dari parti PEJUANG masing-masing hanya memperoleh 3,977 dan 731 undi

Mustapha yang juga Setiausaha PH Sabah melahirkan rasa syukur atas kemenangan ini.

“Syukur kehadrat Allah SWT, kerana akhirnya dengan kerja keras pasukan, kita akhirnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Sepanggar ini.

“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ketua jentera kita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam Peto Galim yang bertungkus-lumus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU15 Kerusi Parlimen Sepanggar Dewan Pusat Pembelajaran Bandaraya Kota Kinabalu, Kingfisher di sini, semalam.

Ditanya mengenai langkah seterusnya, Mustapha berkata, beliau akan memberi fokus kepada 20 harapan masa depan Sepanggar (20 Harapan).

“Esok (hari ini) saya akan ke Kuala Lumpur untuk urusan parti dan balik semula untuk memfokuskan 20 Harapan Sepanggar supaya kita dapat menyelesaikan masalah di kawasan Sepanggar ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|